SENARAI BUKU SEBAGAI CONTOH DAN PANDUAN


Senarai buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris diletakkan di sebelah bawah petak ini untuk rujukan semua bagi mengenalpasti buku-buku yang diistilahkan sebagai biografi, autobiografi dan memoir. Mungkin sebahagian daripadanya ada dalam simpanan kita atau pernah kita baca, tanpa menyedari itulah contoh buku yang hendak dihasilkan di bawah projek ini.

BUKU-BUKU AUTOBIOGRAFI/BIOGRAFI/MEMOIR

  • ABDULLAH HUSSAIN - Sebuah Perjalanan - DBP 1984
  • AWANG ROSLI AWANG JAYA - Ranjau Semalam - DBP 1990
  • BUANG HAJI OMAR - Biografi Novel Zain Hashim - DBP 1997
  • CHRISTINA THOMAS MAMORA - Women Who Inspire - Bumiserasi 2006
  • HARUN JOHARI - Menggong Pemburu Dari Sarawak - DBP 1997
  • HASSAN HAJI HAMZAH - Mahathir Great Malaysian Hero - Media Printers 1990
  • INSUN SONY MUSTAPHA: Memoir Mustapha Hussain - Kebangsaan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO - DBP 1999
  • JOHN BAPTIST CRASTA - Eaten By The Japanese - Raffles, India 1999
  • KALAM HAMIDI - Memoir Kalam Hamidi Dari Panggung Victoria Ke Istana Budaya - PUKM 2001
  • KHO KIAT SENG - Time For Reflection - The Story of Tan Sri Datuk William Tan - MRCS Sarawak 1992
  • KRISHEN JIT - Membesar Bersama Teater - DBP 1986
  • LILY HASLINA NASIR - A Samad Ismail - Bapa Tiga Zaman - DBP1999
  • MD SALLEH MAHYAT - Mendaki Menara Condong - DBP 1999 (Hadiah Biografi ESSO-GAPENA)
  • MEDIAN HAJI DAHLAN - Catatan Seorang Patriot - DBP 1989
  • MOHAMMAD KAYUM BADARUDDIN - Memoir Seorang Perajurit -PTS 2007
  • MOHD ZAMBERI A MALEK - Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen - PUKM - 1999
  • MUHSIN LABIB & RAKAN - Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam - PTS 2008
  • RAMLAH ADAM - Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik - DBP 1996
  • RESAT SALLEH - Anak Watan (novel biografi) - DBP 1992
  • RUDI AFFENDI HAJI KHALIK - Rosli Dhobi Di Tali Gantung - Gaya Media 1997
  • SALBIAH PAINAH - Menyusur Jalan Kenangan - PEKASA 2008
  • SYED OTHMAN SYED OMAR -Pemburu Bintang Tiga - PTS 2007

Wednesday, June 3, 2009

PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN



Datu Dr Haji Adi, Pengarah BPPMIS yang juga seorang teaterawan dan sastera membantu membetulkan busana pelakon di dalam pengisahan semula Sejarah Syarif Mashor dalam bentuk bangsawan sempena Minggu Budaya Melayu Sarawak, Mac 2009.



LATAR

Pelaksanaan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan adalah bagi menjayakan kempen Cinta Negara di bawah program Setia Bestari, Jabatan Penerangan Malaysia bermula pada tahun 2003.

Pertandingan ini mempunyai matlamat yang jitu untuk mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat melalui kebolehan peserta bercerita berdasarkan skrip dengan menggunakan kaedah-kaedah komunikasi bersemuka. 

Pesertappeserta juga akan dibenarkan menggunakan alat bantuan media seperti komputer, muzik, visual, teknik lampu dan lain-lain untuk menarik minat penonton.

Pertandingan ini juga adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melahirkan pendapat, pandangan dan bentuk seni dan budaya masyarakat Malaysia.

Selain daripada itu pertandingan ini juga berharap untuk meningkatkan perasaan cinta negara dan patriotik rakyat Malaysia ke arah menyokong usaha kerajaan melalui kreativiti dan inovasi bagi membina negara Malaysia yang bersepadu, aman damai dan maju sepenuhnya dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020.


OBJEKTIF

 1.   Menggalakkan warganegara Malaysia menyampaikan pandangan dan pendapat mengenai dasar-dasar Kerajaan melalui media dlternatif seperti kesenian tradisi, puisi moden dan tradisional serta lain-lain bentuk budaya etnik dan pelbagai kaum di Malaysia

2.    Meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman rakyat tentang dasar-dasar negara.

3.     Menggalakkan kemahiran menulis skrip dan menyampaikan mesej kenegaraan dalam bentuk bercerita dengan sokongan alat bantuan media.


Petikan buku cenderamata Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2009 Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Meradong pada 17 Mei 2009.

SEJARAH DAN PUTAR BELIT SEJARAH


Kita siarkan rencana Bernama di bawah ini sebagai hujah dan bukti betapa pentingnya kita mengusahakan sekarang dan seterusnya penulisan fakta sejarah supaya ia tidak diputar belit dan dikesampingkan atas nama idealisme dangkal yang semata-mata merupakan satu permainan bagi menguji kekukuhan dari segi akademik oleh pihak tertentu terhadap teori sosiopolitik yang mereka pelajari.

Dari segi teori mereka Chin Peng yang kini sudah uzur dan sudah tua boleh dibenarkan balik ke Malaysia yang pernah dikhianatinya atas dasar peri kemanusiaan, tanpa memikirkan kesan peri kemanusiaan terhadap penderitaan yang telah dialami oleh rakyat negara ini.

Penaja idealisme itu hanya melihat pentingnya dasar peri kemanusiaan diaplikasikan terhadap Chin Peng, tapi tidak mahu melihat kesan psikologi dan kepentingan perasaan mangsa-mangsa Chin Peng.

Pengkhianatan menggunakan teori dan idealisme begini dilancarkan oleh mereka yang menolak sejarah walaupun memperjuangkan hak asasi manusia.



ABADIKAN PERJUANGAN MENENTANG KOMUNIS MENERUSI MUZIUM DARURAT

 

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2009 (Bernama) -- "Dirikan muzium darurat sebagai satu usaha mengabadikan perjuangan dan kemenangan rakyat Malaysia menewaskan pemberontakan komunis.

"Muzium ini juga sebagai memperingati jasa pahlawan negara termasuk, askar, polis dan konstabel khas, pengawal kampung, askar British, Gurkha dan Komanwel yang jarang dikenal atau didendangkan."

Demikian saranan Datuk Omar Mohd Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dalam wawancara dengan Bernama di pejabat PSM Jalan Tun Razak baru-baru ini.

Menurut beliau, PSM membuat cadangan ini memandangkan betapa pentingnya negara menentukan kelestarian memori bangsa mengenai satu peristiwa besar (darurat) yang meninggalkan banyak kesan mendalam dalam sejarah negara.

INSTITUSI HIDUP

Muzium yang dicadangkan boleh menjadi 'institusi hidup' yang dapat menyanggah sebarang usaha pembohongan atau penyelewengan mana-mana pihak mengenai hakikat sebenar dahagi komunis.

Dengan adanya muzium ini, tambah Omar, rakyat terutama generasi muda akan dapat mengenal pasti daripada sudut sejarah siapa dia sebenarnya wira dan pejuang bangsa dan siapa pembelot dan penderhaka dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembangunan negara Malaysia.

Tambahan pula, katanya, seorang demi seorang daripada mereka yang terlibat dalam gerakan mematahkan pemberontakan komunis atau yang melalui pengalaman ngeri semasa komunis bermaharajalela, telah meninggal dunia.

"Mereka yang masih hidup boleh dirakamkan pengalaman mereka dengan kecanggihan teknologi yang ada masa kini. Rakaman ini boleh disimpan di muzium berkenaan sebagai satu catatan sejarah yang berharga dan boleh didengar dan dipertonton kepada pengunjung ke Muzium Darurat yang dicadangkan.

"Perang menentang komunis ini amat penting untuk diabadikan untuk memberi pengajaran akan bahaya musuh dalam selimut. Kisah peribadi mereka yang terlibat dalam peperangan ini adalah bahan sejarah penting yang perlu dicatat dan disimpan. Jika mereka sudah tiada, apa lagi yang boleh menjadi bukti kekejaman komunis," katanya.

Omar berkata tidak banyak peruntukan wang diperlukan untuk membina Muzium Darurat ini, sedangkan manfaatnya amat besar untuk masa depan negara.

PERLU DIJADIKAN IKTIBAR

Menurut Omar, zaman Darurat yang banyak menyaksikan peristiwa berdarah amat penting dalam lipatan sejarah Malaysia.

Ia juga perlu diabadikan supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran sepanjang masa kepada rakyat Malaysia khususnya generasi masa depan.

Negara, katanya, mengambil masa kira-kira 41 tahun (1948-1989) untuk memerangi dan menewaskan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng, setiausaha agung PKM.

Pengganas komunis yang juga dikenali sebagai 'Bintang Tiga' mengganas dan bermaharalela selama dua minggu selepas Jepun tewas dan sebelum Inggeris mengambil alih pemerintahan negara ini pada September 1945.

Ini kemudian disusuli pengisytiharan darurat pada 16 Jun 1948 yang berlarutan sehingga 1960. Kerajaan British mengisytiharkan Darurat selepas tiga pengurus ladang dibunuh komunis di Sungei Siput, Perak. Dalam tempoh yang panjang memerangi komunis, jelasnya, negara kerugian ratusan juta ringgit.

"Kerajaan menanggung kos perang antara RM130 juta hingga RM150 juta setahun. Saya masih ingat semasa bersekolah di Penang Free School, kami diberitahu guru sejarah bahawa kerajaan menanggung kos RM1 juta sehari untuk memerangi komunis. Itu baru kos yang ditanggung kerajaan negara ini tidak termasuk pasukan tentera Inggeris dan Komanwel," kata Omar.

Rakyat Malaysia juga, tambahnya, wajar berbangga dengan kejayaan kerajaan dan rakyat negara ini yang berjaya mematahkan pemberontakan komunis.

"Inilah kali pertama dalam sejarah sebuah negara bebas berjaya mengalahkan pihak komunis. Rakyat negara ini bukan sahaja harus berbangga tetapi juga tidak boleh melupakan atau mensia-siakan pengorbanan mereka yang telah mempertaruh nyawa untuk menghancurkan cubaan komunis daripada berkuasa di negara ini.

"Rakyat juga perlu sedar bahawa bahaya seperti ini ada setiap masa, lebih-lebih lagi apabila kita mula alpa atau memandang ringan soal keselamatan negara," jelas Omar.

Justeru, menurut Omar, PSM menyokong penuh keputusan kerajaan tidak membenarkan Chin Peng, pulang dan tinggal di negara ini.

Tambahnya, membawa balik Chin Peng bermakna memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pemimpin komunis itu serta perjuangannya.

PENGGANAS DAN PETUALANG

Sambil menyuarakan rasa kecewanya kerana isu Chin Peng dibenar ditimbulkan semula, Omar berkata PSM telah membuat pendirian yang tegas mengenai isu Chin Peng yang mahu kembali ke negara ini sejak dibangkitkan pada 2003.

Beliau berpendapat ada dua faktor mengapa isu Chin Peng ini dibangkitkan semula, iaitu, satu, kerana generasi baru yang mendapat layanan hasil dasar keterbukaan kerajaan cuba mencari cerita alternatif dan kedua, kepentingan politik sesetengah pihak yang sengaja mahu 'menangguk di air keruh.'

"Ini juga adalah kerana kejahilan tentang sejarah tanah air dan mereka tidak melalui pengalaman pahit-maung serta penderitaan akibat kekejaman komunis.

"Itu sebabnya mengapa mereka tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap PKM dan Chin Peng dan dengan itu menyokong tuntutan Chin Peng untuk kembali ke negara ini. Hanya mereka yang melalui pahit dan duka kesengsaraan hidup semasa komunis bermaharajalela dapat merasa dan memahami sejarah yang sebenarnya," kata Omar.

Bagi Omar, Chin Peng tidak harus balik ke Malaysia. Dia juga tidak harus dibenar menjejakkan kakinya di negara ini. Sekiranya Chin Peng kembali ke negara ini, dia sepatutnya dibicarakan sebagai penjenayah perang.

PKM yang dipimpin Chin Peng, pengganas dan petualang negara, telah mencetuskan banyak angkara, keganasan dan kezaliman, katanya.

Antaranya selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Ogos 1945 dan sebelum tentera British kembali ke Tanah Melayu pada September tahun yang sama, PKM menculik ramai orang Melayu dan yang lain yang disyakki PKM sebagai 'tali barut' pihak Jepun. Mereka itu, katanya, diseksa dan dibunuh.

Pengganas komunis PKM juga, katanya, membunuh pengusaha ladang getah serta merosakkan harta awam di mana keganasan serta huru-hara yang dicetuskan pengganas komunis menyebabkan kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat yang berpanjangan selama 12 tahun (1948-1960).

Ramai rakyat yang tinggal di kawasan terpencil dipindahkan ke kawasan baru yang dikenali sebagai 'kampung baru' yang dikawal ketat tentera dan polis.

Omar berkata di dalam perang selama 12 tahun itu, Chin Peng mengepalai tentera gerilanya seramai 8,000 orang lelaki dan perempuan melawan hampir 25,000 orang askar Melayu, British dan Komanwel.

Angka itu, katanya tidak termasuk lebih 50,000 polis, konstabel khas yang kebanyakannya kaum Melayu, dan pasukan pengawal kampung dikenali sebagai 'Home Guard'.

"Selepas Darurat (peringkat pertama) tamat pada 1970, ditafsirkan 6,700 pengganas komunis berjaya dibunuh, sementara di pihak kerajaan pula, 1,865 orang anggota keselamatan terkorban dan lebih kurang 3,000 orang awam maut.

"Ini adalah angka rasmi, mungkin ada angka lebih besar yang kita tidak tahu. Bagaimanapun, pengorbanan mereka yang terbunuh ini tidak boleh dilupakan dan disia-siakan," katanya.

PUTAR BELIT SEJARAH

Omar turut mengulas tindakan Chin Peng menghasilkan memoir yang mendakwa bahawa pemberontak komunis Malaya adalah pejuang nasionalis radikal yang menentang imperialis dan penjajahan British.

"Ini satu pembohongan besar. Dia cuba memutar-belitkan sejarah Darurat untuk menutup keganasan, kekejaman serta dosa yang telah mereka lakukan.

"Sejak 1930, PKM merancang untuk mendirikan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu dengan bantuan luar. Republik Komunis bererti tidak ada Kesultanan Melayu dan juga hak keistimewaan untuk orang Melayu. Yang paling utama, komunis adalah anti-Islam," katanya.

Pembohongan yang dilaungkan komunis, katanya masih dapat ditangkis pada zaman ini kerana masih ada mangsa Darurat yang hidup meskipun mereka sudah tua tetapi masih mengingati kenangan pahit semasa pemberontakan komunis.

"Apabila mereka ini sudah tiada, cerita sebenar pembohongan tersebut mungkin akan menjadi kabur dan lama kelamaan ditakuti lenyap. Akhirnya generasi baru akan menerima pakai kisah pembohongan itu sebagai kenyataan benar.

"Sekarang pun sudah nampak persepsi tentang penjahat komunis dan sejarah Darurat berubah sedikit demi sedikit lantaran dipisahkan oleh kejauhan masa dan peristiwa.

"Ini akan menjadi lebih ketara di kalangan generasi muda yang tidak merasai keperitan zaman Darurat serta bahaya ancaman komunis selain daripada membaca kisah ini yang dibicarakan secara umum di dalam buku teks sekolah," katanya.

Menurut beliau, PKM gagal di negara ini kerana tidak mendapat sokongan padu orang Melayu yang beragama Islam yang melihat komunis sebagai anti-Islam dan gejala asing.

"Jika komunis mendapat sokongan orang Melayu, sudah tentu sejarah negara ini akan berubah," katanya.

BUKAN NASIONALIS

Menurut Omar, Chin Peng dan konco-konconya juga bukan nasionalis tetapi penderhaka kerana mereka mengangkat senjata menentang kerajaan yang dipilih rakyat. Jika mereka nasionalis, jelasnya, mereka seharusnya menerima pengampunan tanpa syarat yang ditawarkan di Rundingan Baling pada 1955.

"Chin Peng menolak mentah-mentah meskipun dia tahu Malaya berada di ambang kemerdekaan dan seharusnya mengakui hakikat perjuangan komunisnya adalah sia-sia," sambung Omar.

Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Damai Haadyai yang ditanda tangani pada 2 Dis 1989 di antara PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand, yang menamatkan perjuangan bersenjata komunis.

"Perjanjian tesebut adalah penyelesaian bijak. Komunis secara terang-terangan telah tewas tetapi mereka tidak dihukum seperti yang lazimnya dilakukan ke atas pihak yang kalah perang.

"Rakyat Malaysia tidak menuntut bela atau memburunya seperti yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin Nazi, Jepun dan Khmer Rouge yang diheret ke Tribunal sebagai penjenayah perang.

"Chin Peng serta pemimpin lain PKM sebaliknya dibenar tinggal di wilayah Thai bersempadan dengan Malaysia. Perjanjian Haadyai 1989 adalah anugerah konsesi yang amat besar dan PKM seharusnya berterima kasih. Meminta lebih daripada itu sudah keterlaluan dan tidak mengenang budi," tegas Omar.

Menurut beliau lagi, meskipun PKM menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dan sanggup meletak senjata tetapi mereka sebenarnya tidak menyerah kalah.

"Jauh sekali menggugurkan hasrat bulat mereka untuk bangkit semula mengangkat senjata, bagi berjuang menegak ideologi dan cita-cita politik mereka yang belum selesai," tambahnya.

BAHAYA MASIH ADA

Sehubungan itu, Omar mengingatkan bahawa bahaya komunis tetap ada walaupun perjuangan mereka telah berjaya dipatahkan.

"Komunis tidak akan hapus. Macam di bendang, ada pelbagai jenis ikan (haruan, keli) dan belut. Bila tak ada air, ikan-ikan ini akan menanam diri mereka di dalam lumpur. Bila ada air, ikan-ikan itu akan keluar semula.

"Kita sudah buat kajian kisah komunis di seluruh dunia. Begitulah yang mereka lakukan. Secara halus, mereka ini akan menyusup masuk dalam mana-mana persatuan, persatuan kebudayaan, persatuan muzik. Bila mereka sudah kuat mereka akan ambil alih persatuan tersebut dan mengembangkan sayapnya.

"Saya pasti ada usaha untuk menghidupkan kembali ideologi komunisme kerana ideologi ini tidak akan dibenarkan mati," jelasnya.

Beliau turut merujuk kepada kebangkitan pengaruh pemerintahan sosialisme, satu cabang komunisme, di Amerika Selatan.

Menurut Omar juga, sekali seorang itu Marxist-Komunis selama-lamanya dia Marxist-Komunis.

Sejarah juga, katanya, membuktikan pihak komunis yang 'mati' dapat bangkit dan menceroboh semula apabila ada kesempatan, kelemahan dan kealpaan dalam negara.

"Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Saya memohon supaya satu kata pemutus tegas diambil berhubung isu Chin Peng ini. Ia perlu dianggap sebagai 'cerita yang sudah ditutup' dengan satu noktah besar.

"Kita mesti bergerak ke depan. Kita perlu fokus kepada menangani pelbagai masalah yang ada untuk membangunkan negara ini dan kita tidak mampu untuk terus-terusan bercerita tentang kedurjanaan komunis," tegas Omar.

-- BERNAMA 

http://bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=415222

 

FAKTA SEJARAH ITU FAKTA



Berikut kita perturunkan sebuah rencana Bernama berhubung bantahan Samy Vellu terhadap tulisan Awang Selamat mengenai ancaman terhadap hak istemewa masyarakat Melayu.



PENULISAN FAKTA SEJARAH TIDAK BOLEH DIANGGAP HASUTAN

 

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2009 (Bernama) -- Penulisan fakta sejarah mengenai kemasukan kaum pendatang ke negara ini serta keikhlasan orang Melayu menerima mereka sebagai warga negara apabila negara mencapai kemerdekaan tidak boleh dianggap sabagai sesuatu yang bersifat perkauman, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata ini kerana tidak ada salahnya bahan teras sejarah dirujuk dalam menggambarkan keperluan hubungan antara kaum dipelihara dalam konteks masa kini.

Beliau mengulas desakan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang disiarkan dalam portal MIC agar tindakan selari dengan Akta Hasutan dikenakan terhadap penulis pojok, Awang Selamat, kerana menulis artikel bertajuk "Melayu Dikhianati?" dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad lepas.

Dalam artikel itu Awang Selamat menyuarakan rasa kebimbangannya terhadap sikap bukan Melayu yang terlalu rasis selepas pilihan raya umum lepas dengan membuat pelbagai tuntutan.

Dalam artikel itu Awang Selamat menyiarkan kembali petikan pemimpin MIC mendiang Tun V.T Sambanthan mengenai betapa kaum India di negara ini bernasib baik berbanding rakan mereka yang berada di Burma (Myanmar) dan Ceylon (Sri Lanka) terutama dalam soal mendapatkan kewarganegaraan, semua atas sikap bangsa Melayu yang bersopan santun.

Reezal Merican berkata sebagai pemimpin veteran yang lama dan amat terkait dengan sejarah hubungan antara kaum di Malaysia, Samy Vellu sewajarnya dapat memahami niat artikel itu dengan lebih berhemah.

"Reaksi keterlaluan pelbagai pihak termasuk menganggap kenyataan itu berunsur rasis seperti menidakkan sentimen kekecewaan orang Melayu dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya," katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee pula berkata desakan Samy Vellu itu tidak wajar kerana Awang Selamat menulis berdasarkan fakta mengenai tuntutan oleh pelbagai pihak bukan Melayu.

"Apakah salah bagi penulis pojok itu melahirkan rasa bimbang terhadap masa depan orang Melayu yang mana pada pandangan beliau telah dikhianati oleh bangsa lain khususnya daripada pemimpin parti yang menjadi rakan komponen Barisan Nasional," kata Syed Ali.

Beliau berkata sebagai pemimpin BN, fakta yang ditulis oleh Awang Selamat harus dilihat sebagai peringatan bersama untuk menjana satu bangsa Malaysia yang harmoni dan saling menghormati.

-- BERNAMA

http://bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=415633