.
.
LATARBELAKANG DAN RASIONAL
Tiada yang baru kalau tiada yang lama kerana adanya yang dikatakan baru adalah kerana ada yang lama dan yang lama suatu ketika dahulu adalah yang baru, tetapi laluan usia mengubahnya menjadi yang lama.
Segala yang lama itu, walau betapa pun daifnya adalah sebahagian daripada sejarah dan kisah pengalaman yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran.
Orang yang ada pengalaman dan telah melalui pelbagai babak dan peristiwa kerana hidup yang sudah lama dilaluinya ialah orang-orang tua atau sekarang lebih glamor disebut orang lama dan warga emas.
Mereka memiliki timbunan pengalaman yang sesudah diteliti dan dikaji penuh dengan hikmah dan kebijakan, sekurang-kurang untuk panduan mengenalpasti mana yang buruk mana yang baik, mana yang susah dan mana yang senang, maka yang memudaratkan dan mana yang menyenangkan.
Nilai dan kebijakan daripada pelbagai pengalaman itu tidak bergantung kepada keturunan, kedudukan dan kekayaan seseorang yang sudah bergelar warga emas yang sememangnya sudah kurang mengambilkira hal-hal duniawi seperti itu.
Nilai atau harga pengalaman dan kebijakan daripada pengalaman itu bergantung kepada relevansinya dengan situasi semasa. Yang mengalami kejadian perahu karam di jeram dan terselamat dalam bencana itu mungkin sahaja seorang pegawai kanan, atau mungkin sekadar seorang anak perahu yang gajinya di bawah paras kemiskinan, tetapi pengalamannya sama nilai kepada orang-orang yang akan menaiki perahu melalui laluan yang sama.
Memangnya sudut pandangan dan penilaian seorang pegawai tinggi berbeza sedikit daripada orang tidak berpangkat dan berjawatan bagi peristiwa yang sama, kerana mereka berlainan kepentingan, perspektif dan tanggungjawab. Namun apabila kedua-duanya sama mati dalam peristiwa itu, layanan terhadap mereka sama dan kedua-duanya akan disebut sebagai mayat dan mangsa dan sama-sama akan disemadikan di perut bumi, untuk jasad masing-masing menjadi reput dimamah bumi dan menjadi sebahagian daripada tanah: asal tanah pulang ke tanah.
Berdasarkan penilaian dan hujah itu dirasai perlu ada usaha yang jelas dan terarah dan dilaksanakan secara sedar dan penuh komitmen untuk untuk memungut dan mengumpul apa sahaja pengalaman daripada sesiapa sahaja orang lama atau warga emas dan mereka yang telah melalui sesuatu peristiwa yang menggugah dan menggugat, supaya cerita pengalaman itu boleh diikuti dan difahami serta ditafsir oleh orang lain lalu diperoleh pengajaran dan contoh teladan dan panduan daripadanya.
Atas landasan itu Biro Perkhidmatan Pendidikan Sarawak menyusun dan berusaha memulakan satu program yang matlamat akhir ialah mendapat catatan pengalaman untuk dijadikan manuskrip buku yang boleh diterbitkan, dan diagihkan kemudiannya kepada masyarakat agar menjadi bahan pembinaan sahsiah mulia di kalangan anggota masyarakat.
Dalam usaha itu, yang disedari bukanlah mudah, disusun modus operandinya serta jadual tindakan seperti berikut:
Diadakan mesyuarat di kalangan mereka yang berminat dan berkepentingan untuk membincangkan konsep pendokumentasian pengalaman individu-individu dan kumpulan-kumpulan ini.
Dalam usaha itu harus dibincang dan dilaksanakan penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan merancang dan menyusun tindakan lanjut kea rah menyebarkan maklumat mengenai usaha itu, mengadakan sesi-sesi pengisahan pengalaman yang dirakam dan didokumenkan untuk menghasilkan bahan asas.
Dalam melaksanakan kerja itu, orang-orang lama dan berpengalaman akan dipelawa bercakap dalam sesi berkhalayan untuk menceritakan pengalaman yang berkaitan dan menjawab soalan-soalan berkaitan daripada orang ramai yang hadir.
Penganjur menyediakan khalayak dan lebih penting ialah orang-orang yang berminat untuk menulis dan menghasilkan manuskrip kisah pengalaman diri sendiri, atau yang boleh menulis kisah hidup orang lain hadir dalam majlis itu dan menjadikan sesi itu sebagai sumber bahan bagi menulis manuskripnya.
Bahan-bahan daripada sesi demikian dijadikan bahan asas bagi meneruskan kerja menulis manuskrip, yang berkemungkinan akan melibatkan penyelidikan dan temu janji untuk temu bual beberapa kali lagi selepas itu.
Matlamatnya ialah bahan-bahan atau manuskrip-manuskrip yang dihasilkan akan diterbitkan melalui pelbagai saluran penerbitan yang dipersetujui bersama oleh penulisnya dan juga orang yang dikaji dan ditulis mengenainya.
Sasaran ialah 10 hingga 12 manuskrip setahun.
Selari dengan itu dalam rangka kerja dan program tindakan sebanyak lima sesi pengisahan dijadualkan tahun ini sebagai permulaan dan sekiranya didapati berjaya lebih banyak acara pengisahan akan diadakan tahun depan.
Majlis sebanyak lima sesi untuk kesemuanya diadakan di Kuching tahun ini dengan setiap sesi dihadiri oleh 40 orang.
Aktiviti ini merupakan Bahagian Pembangunan Sosiobudaya di bawah program Kesejahteraan dan Kebajikan Sosial Individu Muslim untuk kumpulan yang memerlukan bantuan dan bimbingan, sebahagian daripada strategi menyediakan peluang untuk menguasai kemahiran bagi tujuan kemandirian ekonomi bagi para peserta.
MATLAMAT DAN OBJEKTIF
- Aktiviti ini bermatlamat melahirkan sekumpulan penulis yang boleh menghasilkan manuskrip/makalah /rencana berkenaan individu yang dijemput oleh penganjur untuk mengisahkan pengalaman hidup mereka.
- Aktiviti juga bertujuan memberi ruang kepada individu-individu yang terpilih dan dijemput untuk memerikan pelbagai pengalaman mereka berdasarkan satu tema atau persoalan yang menarik yang boleh dijadikan tema penulisan oleh para peserta.
- Aktiviti ini bertujuan mewujudkan kesedaran dan keinsafan di kalangan para peserta tentang wujudnya pelbagai individu yang telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis yang berguna kepada orang lain untuk dijadikan contoh dan teladan dan sempadan dalam mengambil tindakan.
KUMPULAN SASARAN
Kumpulan ialah kumpulan yang memerlukan bimbingan dan bantuan terutama mereka yang berminat di dalam bidang penulisan dan aktiviti kewartawanan, yang kemudiannya dapat menghasilkan karya yang boleh bermanfaat kepada masyarakat.
ISI KANDUNGAN DAN KAEDAH PENYAMPAIAN
Kandungan pengisahan ialah pengalaman-pengalaman kemanusiaan yang berguna sebagai contoh dan teladan dan ilmu pengetahuan kepada peserta.
Kandungan itu dibentangkan dalam sesi pengisahan dan penceritaan pengalaman secara bebas disertai soaljawab danpemberian penjelasan.
Hasil pengisahan akan dijadikan bahan untuk menghasilkan manuskrip/rencana/ makalah untuk diterbitkan.
SENARAI PAKAR ATAU BADAN RUJUK PROFESIONAL
Dalam melaksanakan kerja ini pihak penganjur akan bekerjasama dan mengambil rakan kongsi dari kalangan mereka yang berikut:
Penulis berpengalaman
Dewan Bahasa dan Pustaka
UNIMAS
UiTM
Persatuan Pesara Sarawak
Persatuan Bekas Perajurit Sarawak
Persatuan Bekas Polis Sarawak
STRATEGI DAN KAEDAH PELAKSANAAN
Strategi digunakan ialah dengan menjemput tokoh atau individu yang dikira mempunyai bahan pengisahan yang menarik sebagai tetamu/pengisah.
Para peserta akan dijemput melalui persatuan penulis dengan mengambil wakil persatuan ke dalam jawatankuasa pelaksana dan melantik salah seorang daripada mereka menjadi pengerusi atau moderator untuk sesi pengisahan.
Persatuan penulis diminta melantik ahli-ahli tertentu sebagai petugas yang akan melaksanakan tindakan susulan di bawah pengawasan dan memantauan BPPMIS.
Penganjur juga akan menjemput wakil-wakil dari agensi berita/kewartawanan untuk menjadi anggota jawatankuasa penganjur bagi mendapat liputan berita atau ruang penyiaran bahan daripada pengisahan.
Seboleh mungkin ajak sekumpulan orang/peserta menjadi angggota tetap jawatankuasa pengajjur untuk sepanjang tahun supaya mereka dapat membantu mencadangkan tokoh atau individu yang boleh dilantik menjadi pengisah.
RAKAN KONGSI DAN AGENDA BERKAITAN
BPPMIS memerlukan pelbagai pihak lain yang akan diajak untuk terlibat menjatakan projek ini kerana tanpa sokongan dan kerjasama orang lain projek ini tidak mungkin Berjaya.
DBP
Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA)
API
AKSARA
UNIMAS
UiTM
Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak
Persatuan Pesara Sarawak
Persatuan Bekas Perajurit Sarawak
Persatuan Bekas Polis Sarawak
Agenda yang boleh dikaitkan ialah penerbitan biografi tokoh-tokoh terutama Melayu/Islam sebagai projek jangka panjang.
KPI DAN KAEDAH PENILAIAN
Indeks Penilaian ialah
jumlah penulis yang terlibat /5
jumlah pengisah yang sedia terlibat /5
jumlah sesi yang diadakan, /5
jumlah manuskrip yang dihasilkan /5
jumlah buku yang diterbitkan /5
Kaedah digunakan ialah menghitung jumlah orang yang terlibat, projek penulisan yang sudah dan sedang dijalankan dan buku yang diterbitkan.
PEGAWAI BERTANGGUNGJAWAB
Saiee Driss @ Saie bin Dris
Pegawai Penyelidik,
BPPMIS
013-8061506