SENARAI BUKU SEBAGAI CONTOH DAN PANDUAN


Senarai buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris diletakkan di sebelah bawah petak ini untuk rujukan semua bagi mengenalpasti buku-buku yang diistilahkan sebagai biografi, autobiografi dan memoir. Mungkin sebahagian daripadanya ada dalam simpanan kita atau pernah kita baca, tanpa menyedari itulah contoh buku yang hendak dihasilkan di bawah projek ini.

BUKU-BUKU AUTOBIOGRAFI/BIOGRAFI/MEMOIR

  • ABDULLAH HUSSAIN - Sebuah Perjalanan - DBP 1984
  • AWANG ROSLI AWANG JAYA - Ranjau Semalam - DBP 1990
  • BUANG HAJI OMAR - Biografi Novel Zain Hashim - DBP 1997
  • CHRISTINA THOMAS MAMORA - Women Who Inspire - Bumiserasi 2006
  • HARUN JOHARI - Menggong Pemburu Dari Sarawak - DBP 1997
  • HASSAN HAJI HAMZAH - Mahathir Great Malaysian Hero - Media Printers 1990
  • INSUN SONY MUSTAPHA: Memoir Mustapha Hussain - Kebangsaan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO - DBP 1999
  • JOHN BAPTIST CRASTA - Eaten By The Japanese - Raffles, India 1999
  • KALAM HAMIDI - Memoir Kalam Hamidi Dari Panggung Victoria Ke Istana Budaya - PUKM 2001
  • KHO KIAT SENG - Time For Reflection - The Story of Tan Sri Datuk William Tan - MRCS Sarawak 1992
  • KRISHEN JIT - Membesar Bersama Teater - DBP 1986
  • LILY HASLINA NASIR - A Samad Ismail - Bapa Tiga Zaman - DBP1999
  • MD SALLEH MAHYAT - Mendaki Menara Condong - DBP 1999 (Hadiah Biografi ESSO-GAPENA)
  • MEDIAN HAJI DAHLAN - Catatan Seorang Patriot - DBP 1989
  • MOHAMMAD KAYUM BADARUDDIN - Memoir Seorang Perajurit -PTS 2007
  • MOHD ZAMBERI A MALEK - Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen - PUKM - 1999
  • MUHSIN LABIB & RAKAN - Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam - PTS 2008
  • RAMLAH ADAM - Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik - DBP 1996
  • RESAT SALLEH - Anak Watan (novel biografi) - DBP 1992
  • RUDI AFFENDI HAJI KHALIK - Rosli Dhobi Di Tali Gantung - Gaya Media 1997
  • SALBIAH PAINAH - Menyusur Jalan Kenangan - PEKASA 2008
  • SYED OTHMAN SYED OMAR -Pemburu Bintang Tiga - PTS 2007

Wednesday, September 16, 2009

ANITA SARAWAK: DEDAH RAHASIA


Farihad Shalla Mahmud

farihad@baharian.com.my

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Hip/20090917062000/Article

Anita Sarawak mahu hasilkan satu autobiografi mengenai kehidupannya sebelum ucap selamat tinggal kepada dunia seni

KANVAS kehidupan figura bernama Anita Sarawak ini terpalit seribu warna. Ada rona pelangi dan ada juga warna kusam dan hitam, seolah-olah menterjemahkan kisah hidup penyanyi ini dari mula mengenali erti dunia seni hinggalah ke saat kegemilangannya yang masih berlanjutan hingga ke hari ini. Hadirnya menjadi idola kepada semua anak seni. Bukan saja dari segi pencapaian, malah penampilannya yang sering memukau pandangan itu juga menjadi ikutan ramai.

Dan alangkah indahnya jika setiap saat yang dilaluinya itu dikongsi bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya. Justeru, sebelum bibir mengucapkan selamat tinggal pada dunia seni yang dicintainya, ingin pemilik nama penuh Ithnanini Mohd Taib ini meninggalkan satu khazanah yang tidak ternilai harganya iaitu sebuah autobiografi, yang akan mendedahkan segala-galanya yang selama ini menjadi satu rahsia yang digenggam kemas dalam hatinya.

Perancangan untuk menyiapkan buku itu sudah lama wujud dalam hatinya. Namun, kesibukan kerana melalui jadual kerja yang padat membuatkan Anita atau lebih akrab disapa Kak Nita ini terpaksa menangguhkan dulu pembikinan biografi itu.

“Idea ini memang sudah ada dalam kepala sejak tiga tahun lalu tapi kerana kesibukan, hasrat itu terpaksa ditangguhkan terlebih dulu. Pun begitu, bahan-bahan untuk menghasilkan autobiografi ini sudah ada cuma Kak Nita perlukan masa untuk menyiapkannya.

“Bila ia akan siap, Kak Nita tak dapat nak berikan tempoh masa tetapi apa yang pasti biografi itu akan siap dan akan menemui peminat Kak Nita yang selama ini tak henti-henti bertanyakan buku itu sejak Kak Nita melahirkan hasrat untuk menerbitkannya,” cerita Anita yang ditemui pada majlis pelancaran lagu single hari raya miliknya berjudul Maafkan baru-baru ini di Restoran Al-Halabi, Hotel JW Marriot, di ibu negara.

Sambil ditemani suami tersayang, Mahathir Abdullah yang setia berada di sisi, Anita yang kelihatan jelita dengan rambut potongan bob berkata autobiografi itu akan menjadi sebuah naskhah yang akan menceritakan segala kisah silam yang pernah berlaku dalam hidupnya.

“Sepanjang Kak Nita berada dalam dunia seni, saya sudah melalui segala-galanya. Pahit, manis, suka duka, semuanya akan saya rangkumkan dalam biografi ini. Buku yang akan diterbitkan dalam dua versi iaitu dalam Bahasa Melayu dan Inggeris ini akan menyelongkar semua cerita peribadi saya. Mungkin akan ada yang beranggapan bahawa buku ini akan hanya menceritakan yang indah-indah saja. Tapi sebenarnya tidak.

“Saya tidak akan merahsiakan apa-apa. Biografi ini penuh dengan kejujuran. Antara kisah yang akan saya dedahkan nanti dalam buku itu ialah kisah perceraian ibu bapa kak Nita. Dan kalau ada sesiapa yang terasa dengan apa yang akan saya dedahkan nanti, itu terpulang pada mereka. Kalau mereka suka, mereka boleh baca. Kalau tak suka, tak payah baca. Bagi Kak Nita sendiri, tidak ada apa yang hendak dimalukan apabila mengambil keputusan untuk mendedahkan kontroversi itu,” tegas penyanyi berusia 57 tahun ini.

Untuk menjadikan biografi itu lebih bermakna, Anita berkata ia juga akan diselitkan dengan gambar dan surat peribadi yang disifatkannya sebagai paparan eksklusif untuk peminatnya.

“"Insya-Allah Kak Nita akan pulang semula ke Las Vegas nanti untuk mengambil semua barang-barang peribadi bagi membolehkan biografi itu dapat disiapkan,” katanya yang menyimpul hasrat untuk mengadakan konsert berskala besar membabitkan pemuzik orkestra.

Klip video Maafkan kisah benar

KETIKA ini melodi Maafkan barangkali sudah mendapat tempat di corong radio tanah air dan sudah didengar sebilangan besar peminat setia penyanyi bertaraf superstar ini. Sewaktu majlis pelancaran single itu, Kak Nita berkata dia cukup terharu kerana akhirnya impiannya untuk menghasilkan sebuah lagu raya tercapai juga.

Sambil mengakui penerbitan lagu itu tidak akan terhasil tanpa sokongan kuat suami tersayang dan orang di sekelilingnya, Anita berkata lagu Maafkan sebenarnya seperti sebuah biografi yang menceritakan perjalanan hidupnya.

Dan untuk menjadikan lagu itu lebih bermakna, Anita turut merakamkan sebuah klip video yang menurutnya diangkat dari kisah benar.

“Perkara yang paling Kak Nita ingat adalah apabila Kak Nita terpaksa menyambut 1 Syawal tanpa kehadiran seorang lelaki bernama ayah. Setiap kali apabila Kak Nita terkenangkan membesar tanpa ayah di sisi, pasti air mata ini akan menitis. Mengenangkannya saja boleh membuat Kak Nita menangis, apatah lagi untuk menceritakannya. Tapi, semua itu berubah sebaik saja Kak Nita berkahwin dengan Abang Mahathir sejak sedekad lalu.

“Bukan mudah untuk membesar tanpa seorang lelaki bernama ayah. Lebih tragis apabila melihat teman lain bahagia menyambut hari raya bersama keluarga tercinta. Itulah yang Kak Nita rasakan masa zaman kanak-kanak dulu. Sedih, terasa kosong dan keadaan yang sama Kak Nita lalui sewaktu menyanyi di Caesar’s Palace di Las Vegas dulu. Nampak gah tapi pada hakikatnya, jiwa Kak Nita sunyi sehinggalah Abang Mahathir datang dalam hidup ini.

Mengenai sambutan hari raya yang bakal menjelang tiba, Kak Nita akan menyambut ketibaan Syawal di rumah ibu tirinya, Datin Umi Kalsum.

“Kak Nita hanya akan berada di rumah Umi pada hari raya pertama nanti kerana pada malam sebelumnya, Kak Nita terbabit dengan persembahan di sebuah kapal pelayaran di Singapura. Masa mula-mula mendapat tawaran untuk membuat persembahan di situ, tidak sangka pula yang persembahan itu berlangsung sehari sebelum hari raya. Jadi Kak Nita pun menelefon Umi dan bertanyakan apakah Kak Nita perlu menerima undangan itu.

“Namun Umi menasihatkan Kak Nita supaya meneruskan saja kerana rezeki yang datang tidak patut ditolak. Jadi selepas Kak Nita buat persembahan, Kak Nita akan pulang ke Kuala Lumpur untuk berhari raya bersama mereka,” katanya sambil mengukir senyuman manis.

No comments:

Post a Comment